INDUSTRI
PELANCONGAN
INDUSTRI
Perindustrian bermaksud sesuatu penghasilan barang atau
perkhidmatan dan merupakan aktiviti ekonomi yang memproses bahan mentah menjadi
barang siap atau menyediakan perkhidmatan.Sektor perindustrian dianggap
penggerak utama pembangunan dikebanyakan negara membangun, terutama dari segi daya
pengeluaran dan daya keupayaan penyerapan tenaga buruh. Pada zaman
sebelum merdeka hinggalah sekarang, sektor perindustrian mencatatkan sumbangan
yang besar dalam peneraju ekonomi Negara.
Dalam proses memajukan Negara, tonggak kepimpinan Negara telah
mengambil langkah berwibawa dengan membawa kemajuan dan transformasi dalam
sektor ini .Ini merupakan inisiatif bijak dari pihak kerajaan dimana ia
telah memandang penting kenyataan ,“Pembangunan ekonomi di kebanyakan negara
maju adalah berasaskan kepada sektor perindustrian” Hal ini telah
menjadikan sektor perindustrian di Negara ini antara sektor terpenting dalam
penyumbang kemajuan Negara. Sektor perkhidmatan terdiri daripada pelbagai
subsektor yang sebahagiannya boleh diperdagangkan termasuklah industri pelancongan.
PELANCONGAN
Pelancongan adalah gerakan sementara manusia ke destinasi lain
di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka
lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan
untuk memenuhi keperluan mereka. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan,
ini kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja mampu
melancong. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan
pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang
pergi melancong (Matthieson dan Wall, 1991).
Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu
kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri
dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini
memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan
negara (Inskeep, 1996).
Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang
saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah
Wahab dan Cooper, 2003).
Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000
tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal
laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh
perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti
Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah.
Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang
Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik
untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar
dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah
tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat
beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah tumpangan ini dikaitkan dengan
piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskeep, 1996).
Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor
pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan
ekonomi, kemudahsampaian yang tinggi serta jalinan hubungan yang baik antara
sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor
yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa
sempadan.
Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama
tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan
guna tenaga. Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh
perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan.
Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada
pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan
dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan.
INDUSTRI PELANCONGAN
Oxford English Dictionary mendefinisikan pelancongan adalah
orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999).
Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri
pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke
tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan
bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula
membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti
peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang
pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan
ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.
Kini Malaysia diiktiraf pada peringkat global sebagai antara
destinasi pelancongan utama, dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi
ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri
pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara.
Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan
industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana
dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
Pelancongan merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan
perniagaan, dan ia merangkumi subsektor yang berikut: penginapan,
membeli-belah, produk pelancongan (iaitu ekopelancongan, pelancongan kapal
persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan),
makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri (inbound) dan pengangkutan
domestik.
Malaysia mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk
melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri
pelancongan sudah sememangnya besar, telah pun berkembang dengan pantas untuk
tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang
kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan
sektor pelancongan kepada ekonomi Negara.
TAHAP PEMBANGUNAN
INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan di
Malaysia telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an
dengan kewujudan Penubuhan Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos
1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan
Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.
Sektor pelancongan negara
dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana ketika ini negara
sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987,
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun
1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia
telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara. (Azizan
Marzuki, 2010).
Menurut petikan dari MStar
(2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun
2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada jumlah itu, negara juga
turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5
bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia mencatat rekod
peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah sebanyak
9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.
Purata kedatangan pelancong
ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan demi peningkatan
walaupun terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak
penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa yang terkini yang menimpa Malaysia
adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan
yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan
purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya. Berdasarkan
kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi
kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam
terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9
peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun
penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri
pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan
berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).
Sehingga kini, sektor
pelancongan merupakan sektor kelima terbesar Negara. Selepas sektor
perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan
petroleum dengan menyumbang sebanyak RM36.9 bilion kepada Keluaran Negara Kasar
(KNK). Unit Perancangan Ekonomi (2010) Malaysia juga merupakan negara ketiga
paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.
Hal ini menunjukkan bahawa sejak awal tahun 80-an sehingga kini perhatian
kerajaan terhadap sektor tersebut dapat dibuktikan dengan peruntukan kewangan
dan pelaburan yang dibelanjakan. (Azizan Marzuki, 2010).
KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP
PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
Antara kepentingan dan
sumbangan industri pelancongan di dalam ekonomi negara adalah seperti
pengaliran wang asing, memajukan bidang perniagaan di Negara, membuka peluang
pekerjaan yang luas serta meningkatkan kemudahan pengangkutan dan perhubungan. Dengan
peningkatan dari tahun ke tahun pelancong ke Malaysia, ia dapat meningkatkan
ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara di mana
pelancong dari luar negara akan menukar mata wang negara mereka kepada mata
wang Ringgit Malaysia untuk berbelanja di Malaysia dan mata wang asing ini
kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport
barang dari luar negara.
Jumlah pendapatan negara
melalui pertukaran wang asing telah meningkat daripada RM132 juta pada tahun
1970 kepada RM545 juta pada tahun 1980. (Unit Perancang Ekonomi, 1981). Langkah
kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah
meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing sebanyak
56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion (Salehen Sidek 2010). Pengaliran wang
asing ini penting dan ianya terbukti apabila Malaysia menghadapi krisis
kewangan, dengan peningkatan kemasukan pelancong telah memulihkan keadaan ini.
Sepertimana yang ditunjukkan di dalam Jadual 2.1, pendapatan ekonomi negara
hasil sumbangan industri pelancongan sering meningkat. United Nations World
Tourism Organization telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-9 bagi
ketibaan pelancong dan tempat ke-13 dari sudut pendapatan. Pada tahun 2010,
Jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada
RM59.2 bilion. (Laporan ekonomi 2010/2011).
Pelancong yang melancong
semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat penginapan, makanan dan
minuman. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima
bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tourism” yang
membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara
hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya.
Seperti mana yang dilihat di Malaysia telah banyak pusat penginapan yang
menjadi tumpuan pelancong tidak kira dalam negara mahupun luar negara dan
masyarakat sekitar kawasan yang menarik dijadikan pusat pelancongan akan
berpeluang menceburi bidang perniagaan.
Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah
dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh
negara.
Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti
orang asli telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu
bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011) Hal ini
secara tidak langsung mencapai sasaran kerajaan dalam DEB.
Selain itu, keunikan dan
kepelbagaian makanan yang berlainan bagi setiap negeri merupakan penarik utama
bagi pelancongan. Ianya tidak dinafikan juga terdapat pelancong dalam negara
juga sanggup untuk melancong untuk merasai makanan bagi setiap negeri. Begitu
juga dengan perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pengangkutan, juru pandu
pelancong dan perkhidmatan lain.
Perkembangan yang mampan
dalam industri pelancongan ini juga akan membawa kepada kewujudan lebih banyak
penginapan, restoran atau gerai-gerai makanan, perkhidmatan pemandu pelancong
dan banyak lagi yang membawa kepada lambakan peluang pekerjaan untuk
masyarakat. Seperti mana yang diketahui industri pelancongan merupakan antara
industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu
pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan.
Guna tenaga yang terlibat
secara langsung dalam industri perhotelan telah meningkat dari 25,170 pada
tahun 1985 kepada 39,960 pada tahun 1990 dengan mewujudkan tambahan pekerjaan
sebanyak 14,790. Bilangan agensi pelancongan juga bertambah dari 611 pada tahun
1985 kepada 1,545 pada tahun 1990. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 8,330 lesen
telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta
sewa.4. (Laporan ekonomi 2010/2011).
Datuk Seri Najib Razak juga
menyatakan sector pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia
dengan industri itu dengan mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan.
(Berita Harian Online, 2015). Seterusnya, hal ini akan dapat mengurangkan kadar
pengangguran di Malaysia.
Dari aspek pengangkutan dan
perhubungan pula, Malaysia sudah mempunyai beberapa syarikat penerbangan murah
yang turut membantu mempromosikan pelancongan negara seperti syarikat
penerbangan Firefly, Air Asia, MAS dan Rayani Air yang menawarkan perkhidmatan
tambang murah (Amal Hayati Ishak et all 2010) Hal ini dapat menjana pertumbuhan
ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia sendiri untuk pergi melancong
ke destinasi pilihan domestik disamping dapat mengurangkan pengaliran keluar
matawang Negara.
HALANGAN ATAU CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
Antara cabaran yang dihadapi
adalah wujudnya persaingan dalam industri pelancongan dengan negara-negara lain
di mana negara tersebut juga sedar akan kepentingan sesebuah industri
pelancongan untuk negara. Setiap negara mempunyai keistimewaan tersendiri yang
menjadi pusat tarikan masing-masing termasuklah pusat membeli-belah, makanan, tempat
tema, keindahan alam semulajadinya dan lain-lain lagi. Justeru itu, kreativiti
sesebuah negara dalam mempromosikan negara masing-masing adalah amat penting
untuk menarik para pelancong dan menjadikan Malaysia menjadi destinasi utama
pelancong. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia haruslah membuat persediaan yang
cukup untuk menarik para pelancong ke Malaysia.
Kestabilan politik sesebuah
negara juga amat memainkan peranan dan sekiranya kestabilan politik ini tidak
dapat dicapai ia juga akan memberi impak yang besar kepada negara termasuklah
pelaburan, perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik menyebabkan
pembangunan negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan prasarana untuk
pelancong semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan yang dirancang
juga akan terganggu.
Selain itu, ketidakstabilan
politik juga menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan
melancong ke negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi
rakan-rakan mereka yang lain. Sebagai contoh adalah rusuhan atau peperangan
yang berlaku di sesebuah negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke
negara tersebut. Imej negara ini juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh
yang lama walaupun kestabilan politik telah dicapai disebabkan imej buruk yang
telah terjejas. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan
buruk pada sektor pelancongan.
Selain itu, alam
sekitar juga merupakan elemen yang penting dalam industri pelancongan kerana
kebanyakan pelancong akan melancong ke negara ini disebabkan oleh keindahan
alam semulajadinya. Tidak bermaknalah jika negara mempunyai banyak keindahan
alam yang boleh dikunjungi tetapi berlakunya pencemaran tersebut yang
mencacatkan keindahan tersebut secara langsung memberi imej yang negatif kepada
negara. Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk
menjaga kebersihan alam sekitar untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjaga
imej sesebuah negara. Tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak
kerajaan atau pihak yang berkenaan sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu
mempunyai kesedaran tentang alam sekitar untuk kebaikan bersama.
Kebudayaan tempatan yang
semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu cabaran bagi
industry pelancongan. Pada era globisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan
kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya Barat. Kebudayaan merupakan faktor
yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai
dan mengetahui kebudayaan tradisi negara yang tidak ada di negara lain.
Antaranya adalah seni silat, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak
lagi yang semakin dilupakan oleh anak muda. Jika tidak diwarisi oleh anak-anak
muda ketika ini keunikan sesebuah negara akan hilang yang membawa kepada kurangnya
pelancong yang akan datang ke negara tersebut.
SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN
UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Antara sistem sokongan oleh pihak
kerajaan adalah seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia. Antara
fungsi Kementerian Pelancongan Malaysia ialah menggubal dasar pelancongan
negara bagi mencapai visi, misi dan objektif kementerian selain melaksanakan
dasar-dasar berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan industri pelancongan.
Kementerian ini juga dibahagikan kepada pengurusan tertinggi, beberapa bahagian
dan unit serta beberapa jabatan dan agensi di bawah seliaannya seperti Tourism
Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN), Lembaga pembangunan
seni visual negara dan banyak lagi.
Antara usaha yang dijalankan untuk
pembangunan industri pelancongan adalah mewujudkan program pelancongan dan
kursus berkaitan pelancongan. Antara program pelancongan adalah seperti Sukarelawan
Pelancongan (Voluntourism) untuk menggalakkan sukarelawan terlibat dengan aktiviti
pembangunan pelancongan, program pelancongan pelajar untuk memupuk budaya
melancong di kalangan pelajar agar melancong ke tempat-tempat bersejarah,
kebudayaan, eko-pelancongan dan lain-lain, program pelancongan pendidikan iaitu
untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia,
program Agro-Pelancongan yang juga menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan
dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong serta program
Pelancongan sukan iaitu Penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan yang
lengkap dan canggih sebagai penganjur sukan.
Antara kursus berkaitan pelancongan
pula ialah kursus We Are The Host (WATH) untuk melatih semua barisan hadapan
(frontliners) di dalam sektor pelancongan, kursus Eco-Host Malaysia untuk
meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai keperluan memelihara dan
memulihara alam sekitar, kursus Bot Pelancong untuk meningkatkan
kesedaran dengan memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keselamatan, pencegahan
dan kaedah-kaedah pengendalian pelancong dan peralatan yang betul, kursus Think
Tourism dapat memberi pengetahuan dan pendedahan kepada frontliners bagi
melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran dalam industri pelancongan dan
mempertingkatkan tahap perkhidmatan pelanggan. Kursus Program Latihan Terapi Spa (PLTS)
untuk membangunkan kepakaran tempatan dan mengawal selia industri spa dengan
lebih berkesan. Ia juga disasarkan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia
terhadap pekerja terapi spa asing serta memberi peluang kerjaya baru dalam
industri pelancongan.
Pihak kerajaan juga menyediakan tabung
dan insentif seperti :
- i. Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan – Menyediakan kemudahan . pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan yang bertujuan untuk membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk-produk pelancongan.
- ii. Galakan cukai – Pengecualian cukai bagi Syarikat – syarikat pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej pelancongan dengan membawa pelancong asing ke Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan
- iii. Skim Bantuan Kebudayaan – menyediakan bantuan kewangan dan khidmat nasihat kepada BBK seni dan budaya untuk melaksanakan aktiviti yang menyokong usaha pembangunan seni dan budaya negara
- iv. Skim bimbingan seni – Menyediakan kursus yang tertumpu kepada aspek-aspek penyelengaraan, perekaan seperti rekaan lampu (lighting design), set dan prop (scenic design) dan rekaan audio (sound design). Terdapat juga Kursus Pemasaran Untuk NGO dan Kursus Pengurusan, Pentadbiran dan Pemasaran NGO.
- v. Sumbangan & tajaan seni – Segala bentuk tajaan yang disumbangkan akan diberi keutamaan penghargaan serta pengiktirafan khas dalam setiap promosi, bahan cetakan dan terbitan. Di antara pihak-pihak yang telah menjadi penaja utama dalam program di BSVN terdahulu ialah seperti Phillip Morris Malaysia, ExxonMobil Malaysia, Shell, Nokia, Malayan Tobacco dan Petronas.
Selain daripada kerajaan merangka
usaha-usaha untuk perkembangan industri pelancongan, sektor swasta juga perlu
turut sama dalam usahasama tersebut supaya matlamat dapat dicapai. Antara usaha
sektor swasta yang ada adalah melalui syarikat penerbangan Air Asia di mana Air
Asia mengadakan pakej tambang murah kepada para pelancong yang menggunakan
perkhidmatan pengangkutan udara. Hal ini dapat membantu kerajaan mempromosikan
negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di Malaysia pada badan
kapal terbang untuk menarik pelancong.
Antara usaha lain syarikat Air Asia
adalah dengan sumbangan Air Asia terhadap industri pelancongan Sabah dari segi
jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang
tahun 2013. syarikat penerbangan tersebut juga telah meningkatkan jaringan
perhubungan ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 23
destinasi yang membolehkan para pelancong meneroka tempat-tempat menarik
bertaraf dunia selain mencari peluang perniagaan di negeri tersebut. (Astro Awani,
23 nov 2015).
Selain itu, syarikat swasta seperti Elang
Wah Sdn Bhd, merupakan syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir. Syarikat
itu ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli. Ia
merupakan salah satu usaha yang sangat baik untuk pembangunan industri
pelancongan dengan penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas
KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat
Malaysia.
Dengan munculnya beberapa pengangkutan
awam yang lebih mesra pelancong seperti KL Hop On Hop Off, pelancong kini tidak
lagi mengalami kesusahan untuk mengunjungi lokasi pelancongan. Sebagai contoh
KL Hop On Hop Off membawa anda ke tempat pelancongan dan kekerapan bas tersebut
menjadikan ia pilihan kebanyakan pelancong asing. Tambang satu tiket untuk
sehari murah yang dikenakan sesuai untuk dilaksanakan di tempat lain di
Malaysia bagi menggalakkan ramai pelancong asing untuk melancong di tempat lain
di Malaysia.
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI
PELANCONGAN
Berdasarkan jumlah pelancong yang
semakin bertambah ke negara kita sejak kebelakangan ini, jelas menunjukkan
bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya
rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menggamit
kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato’ Sri
Dr. Ng Yen Yen menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus
menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja
supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Setiap anak watan perlu merancang
usaha-usaha yang istiqamah, pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat
industri ini merentasi benua dan dunia.
Langkah prima untuk meningkatkan
industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan
prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi
prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong.
Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi
yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan
dituju. Kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah
besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan
orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan
ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang
ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut.
Selain itu, kemudahan penginapan yang
selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi
faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita.
Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada
seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat
penginapan selesa dan lengkap, hal ini
akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali
gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing.
Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan
taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau
busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi.
Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke
sini. Keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan
agar industri ini dapat dibangunkan.
Selain itu, Kerajaan melalui Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang
sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di
tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang
menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti
risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio
dan televisyen. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet
juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara
yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Jika maklumat yang lengkap sampai
ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada
suatu hari kelak.
Seperkara lagi, pelbagai aktiviti yang
menarik perlulah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.
Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia
termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula
Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan
pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa
dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa
dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara
seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan
membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi
penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang
pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan
tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat
meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada
kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini dapat diibaratkan sambil menyelam
minum air. Jelaslah bahawa industri pelancongan dapat dimajukan dengan
mengadakan pelbagai aktiviti negara yang menarik.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, jelaslah bahawa
terdapat pelbagai cara yang dapat
dilakukan untuk memajukan industri ini. Segala usaha yang direncanakan
itu memerlukan obligasi dan komitmen jitu daripada semua pihak serta perlu
dijalankan secara bijaksana umpama
menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Usaha yang holistik dan syumul ini perlu dijalankan secara sistematik dan tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Diharapkan industri pelancongan negara ini akan terus berkembang dan sentiasa
meniti dari bibir ke bibir rakyat di peringkat glokal dan global. Bukan itu
sahaja, diharapkan juga industri pelancongan di Malaysia dapat berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara pelancongan yang lain.